Total Pageviews

Friday 2 December 2011

Kedah Darul Aman

Bendera Negeri Kedah
Merah ialah warna kebangsaan negeri Kedah yang turun temurun. Padi maknanya negeri ini makmur dalam hal kehidupan. Anak bulan tanda negeri ini beragama Islam. Perisai pula maksudnya Raja (Kerajaan) sentiasa menjaga dan memelihara rakyatnya dan penduduk dalam negeri ini daripada kezaliman.


Jata Negeri Kedah
Lengkaran itu maksudnya padi, tanaman utama Negeri ini. Anak bulan tanda Agama Islam. Perisai pula tanda kekuasaan





Lagu Negeri Kedah

Allah selamat Sultan Mahkota
Berpanjangan usia di atas Takhta,
Memelihara ugama Nabi kita,
Negeri Kedah serata-rata

Negeri Sembilan Darul Khusus

Bendera Negeri Sembilan. Tanah kuning itu maksudnya D.Y.M.M Raja. Bahagian tiga segi yang berwarna merah bermakna rakyat, sementara bahagian tiga segi yang berwarna hitam maksudnya Datuk-Datuk Undang bagi Luak-luak yang menjadi bahagian-bahagian negeri ini.


Jata Negeri Sembilan. Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan bauh negeri dalam Gabungan Negeri Sembilan yang lama.Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada masa yang lalu dengan British. Warna kuning maknanya Yang di-Pertuan Besar. Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri dalam Gabungan yang lama. Pedang dan sarungnya di atas perisai itu tanda keadilan. Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah "Changgai Putri" tanda Kebesaran Yang di-Pertuan Besar




Lagu Negeri Sembilan

Berkatlah Yang Dipertuan Besar di Negeri Sembilan
Kurniai sihat dan makmur
Kasihi rakyat lanjutkan umur
Akan berkati sekalian yang setia
Musuhnya habis binasa
Berkatlah Yang Dipertuan Besar di Negeri Sembilan

Pahang Darul Makmur

Bendera Negeri Pahang adalah mengandungi dua warna iaitu putih di atas dan hitam di bawah. Kedua-duanya sama lebar.

Hitam adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintahan di negeri Pahang adalah seorang yang bertaraf Bendahara.

Putih adalah melambangkan Raja. Tambahan warna putih di atas hitam ini membawa makna bahawa Negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan Beraja.

Ini juga membawa erti bahawa negeri ini ada mempunyai keistimewaan-keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, tata susila serta kuasa-kuasa yang tertentu yang ada pada Raja sebagai sebuah negeri yang beraja dan berdaulat.









Jata Negeri Pahang. Mata tombak itu ialah contoh mata tombak besar, iaitu "cogan" salah satu dari Alat Kebesaran Negeri yang utama, tanda kekuasaan seperti Cokmar.

Jika diperhatikan, bentuk cogan itu adalah ganjil. Sebagai mata tombak, lebar matanya tiada padan dengan panjangnya.Ini ialah kerana hendak menyerupakan bentuknya dengan bentuk daun kopi. Menurut riwayat tua, Almarhum Sultan Ahmad yang telah beberapa kali membuat percubaan untuk mendapatkan takhtar Pahang, telah menganggap kejayaan akhir Baginda oleh suatu peristiwa berhubung dengan cawan kopi yang dihidangkan kepada Baginda tatkala sedang menyusun perjuangan di Terengganu untuk melanggar Pahang bagi kali yang akhir.

Gading gajah itu maknanya kekuasaan Raja. Dalam sejarah Melayu, gajah ada hubungan rapat dengan raja-raja Melayu dan istiadat di raja iaitu digunakan sebagai kenderaan di raja.







Lagu Negeri Pahang

Ya Allah Yang Maha Kuasa
Dirgahayu Darul Makmur
Aman dan bahagia sentiasa
Ya Allah selamatkan
Duli Tuanku raja kami

Kelantan Darul Naim

Bendera Negeri Kelantan
Latar belakang berwarna merah maksudnya kejujuran penduduk rakyat Raja. Lambang kebesaran berwarna itu tanda kesucian Raja negeri ini



Jata Negeri Kelantan. Mahkota itu tanda Kedaulatan Sultan. Dua tombak dan dua keris maksudnya kekuatan orang-orang melayu Kelantan. Anak bulan dan bintang adalah tanda Islam. Dua pucuk meriam maknanya bahawa negeri ini adalah sentiasa sedia untuk mempertahankan dirinya.

Dua kijang mengingatkan kembali kepada sejarah tua negeri ini tatkala Che' Wan Kembang (atau Che' Siti) Permaisuri Kelantan (kira-kira pada akhir kurun yang ke-14) yang kerana terlalu kasih kepada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap dengan gambar binatang itu.

"BERSERAH KEPADA TUHAN KERAJAAN KELANTAN" ialah cogan kata negeri KELANTAN






Lagu Negeri Kelantan
Lanjutkan usia Al-Sultan kami
Sultan Kelantan raja ikrami
Aman sentosa Tuhan sirami
Kekal memerintah kami
Kasih dan taat setia disembahkan
Keriangan diucapkan
Segala kebesaran Allah cucurkan
Bertambah kemuliaan

Johor Darul Takzim

Bendera Negeri Johor. Anak bulan dan bintang yang berwarna putih itu menandakan Raja yang berdaulat. Bahagian yang berwarna merah bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri. Bahagian yang berwarna biru tua itu pula maksudnya Kerajaan Negeri.

Jata Negeri Johor. Mahkota tanda D.Y.M.M. Raja. Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan Empat Buah Jajahan besar asal negeri itu, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau; sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam.
 



Lagu Negeri Johor
Allah peliharakan Sultan
'Nugerahkan dia
segala kehormatan
sihat dan ria
kekal dan makmur
luaskan kuasa
naungkan kami
rakyat dipimpini
berzaman lagi
dengan merdeka bersatu hati
Allah berkati Johor
Allah selamatkan Sultan

Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. Lukisan yang berbunga-bunga di sebelah bawah perisai maksudnya Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini.

"KEPADA ALLAH BERSERAH" ialah cogan negeri Johor.

Perlis Indera Kayangan

Bendera Negeri Perlis. Warna Kuning maksudnya D.Y.M.M. Raja. Warna biru maksudnya rakyat. Bendera itu maknanya kerjasama yang erat di antara Raja dan Rakyat Baginda.

Jata Negeri Perlis. Lengkaran padi itu maksudnya pekerjaan utama dan hasil utama negeri iaitu padi. Perisai tanda kebanggaan dan kehormatan negeri itu. Lambang itu keseluruhannya bermakna kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya.


Lagu Negeri Perlis
Amin amin ya Rabaljalil
Doa hamba yang sangat zalil

Kekalkan daulat serta adil
Bagi perintah Jamalullail

Selangor Darul Ehsan

Bendera Negeri Selangor. Empat bahagian yang berwarna kuning dan merah itu maksudnya daging dan darah iaitu unsur-unsur yang perlu untuk memeberi jiwa dan tenaga kepada negeri ini. Bulan bintang pula ialah sebagai Agama Islam, agama rasmi negeri dan kesucian Agama Islam ditunjukkan dengan warna putih.



Jata Negeri Selangor. Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Tombak merah di tengah-tengah ialah Sambu-Warna. Disebelah kanan ialah Keris Pendek dan di kiri pula Keris Panjang. Ketiga-tiganya adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan jawi yang berbunyi "Dipelihara Allah" ialah cogan negeri. Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai ikat pinggang oleh pahlawan-pahlawan zaman dahulu.





Lagu Negeri Selangor
Duli Yang Maha Mulia
Selamat di atas takhta
Allah lanjutkan usia Tuanku
Rakyat mohon restu bawah Duli Tuanku
Bahagia selama-lamanya
Aman dan sentosa
Duli Yang Maha Mulia

Terengganu Darul Iman

Bendera Negeri Terengganu. Latar belakang berwarna putih maksudnya D.Y.M.M. Sultan. Ia melingkungi tanah hitam yang bermakna rakyat. Oleh itu bermakna Sultan adalah memberi perlindungan kepada seluruh rakyat Baginda. Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama rasmi negeri.



Jata Negeri Terengganu. Bulan bintang menunjukkan negeri Islam. Mahkota menandakan pemerintahan Diraja. Pedang, Keris Panjang dan Cokmar pula merupakan Alat Kebesaran Negeri. Manakala di sebelah kanannya ialah Quran melambangkan Agama Islam, agama rasmi negeri. Buku undang-undang di sebelah kiri pula menandakan keadilan dan Wali menandakan Alatan Istiadat Kebesaran



Lagu Negeri Terengganu
Allah daulatkan Tuanku Sultan,
Terengganu Darul Iman,
Allah peliharakan Tuanku Sultan,
Sejahtera sepanjang zaman,
Allah rahmatkan Tuanku Sultan,
Memerintah rakyat aman.

Sarawak Bumi Kenyalang

Bendera Negeri Sarawak. Warna merah melambangkan keberanian, kesungguhan dan pengorbanan rakyat dalam daya usaha mereka yang berterusan untuk mengejar serta mempertahankan kemajuan dan ketinggian marauh dalam proses membina Sarawak sebagai negeri contoh.

Warna kuning menggambarkan keagungan Perundangan dan Peraturan (Order), perpadaun serta stabiliti dalam masyarakat yang berbilang kaum.

Warna hitam melambangkan kekayaan sumber asli Sarawak seperti minyak mentah, balak dan sebagainya yang merupakan landasan bagi memajukan rakyatnya.

Bintang yang berwarna kuning bermuncung sembilan melambangkan sembilan bahagian di mana rakyatnya tinggal di dalam harmonis.

Simbol bintang juga merupakan cita-cita tinggi rakyat kita dan hasrat perjuangan kita untuk meninggikan mutu kehidupan selepas merdeka



 
Lambang negeri Sarawak menjunjungkan kemegahan "Bumi Kenyalang" terbang tinggi dengan aspirasi dan pencapaian dalam semua lapangan daya usaha, berpandukan ideologi "politik pembangunan". Lencana negeri ini juga boleh membezakan keunggulan Sarawak daripada negeri-negeri lain di dunia.





 Lagu Negeri Sarawak
Sarawak tanah airku,
negeriku tanah airku Sarawak,
engkaulah tanah pusakaku,
tanah tumpah darahku,
Ibu Pertiwiku.
rakyat hidup mesra dan bahagia,
damai muhibbah sentiasa,
bersatu,berusaha,berbakti,
untuk Sarawakku cintai.
Sarawak tanah Malaysia,
aman makmur rahmat tuhan,
maha esa,kekallah Sarawak bertuah,
teras perjuangan rakyat,berjaya berdaulat

Sabah Negeri Di Bawah Bayu


Bendera negeri Sabah berbentuk persegi panjang berukuran 1:2. Di antara sudut sebelah atas bendera berwarna biru cerah, yang menjadi latar belakang lukisan grafik bayangan Gunung Kinabalu, berwarna biru tua, meliputi suku bahagian bendera ini. Bahagian hujung bendera yang berkibar dihiasi tiga jalur yang sama besar. Jalur atas berwarna biru muda, jalur tengah berwarna putih dan jalur bawah berwarna merah cili.


Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, manakala merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan.
Warna biru cerah menunjukkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama.


Kelima-lima warna yang menghiasi bendera ini mewakili lima bahagian yang terkandung dalam Negeri Sabah. Lukisan grafik berbentuk Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah




Jata Negeri Sabah
Sepasang tangan yang menjulang megah bendera negeri Sabah menghiasi lencana ini melambangkan semangat perpaduan erat dan kerjasama yang lama terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum demi mencapai kemajuan dan kejayaan bagi Negeri Sabah.

Sebarisan lima warna di bawah sepasang tangan tersebut merupakan lima bahagian 'daerah' yang terkandung dalam Negeri Sabah.

Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan , putih melambangkan kesucian dan keadilan, merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan, warna biru cerah melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama rakyat.

Lukisan grafik berbentuk bayangan Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah.
 


Lagu Negeri Sabah

Sabah tanah airku
Negeri kita yg tcinta
Pemuda pemudi semua marilah
Bangunlah bsatu semua
Marilah bsama serta maju jaya
Merdeka sepanjang masa
Bsatu segalah bangsa sentosa
SABAH NEGERI MERDEKA

Melaka Bandar Bersejarah

Bendera Negeri Melaka. Warna-warna merah, puith, kuning dan biru adalah warna-warna Bendera Persekutuan dan menunjukkan bahawa Melaka ialah sebuah negeri dalam Persekutuan, sementara anak bulan dan bintang pecah lima itu pula ialah tanda Agama Islam, agama negeri dan Malaysia.

Jata Negeri Melaka. Warna merah, putih, kuning dan biru maknanya Melaka sebuah negeri dalam Malaysia. Lima bilah keris maksudnya lima orang pahlawan termasyhur di Melaka, pada zaman dahulu. Anak bulan dan bintang pecah lima tanda Agama Islam, agama rasmi negeri.

Pokok Melaka ialah pohon dari mana negeri itu mendapat namanya. Dua ekor pelandok yang memegang perisai ialah untuk memperingati riwayat tua iaitu pelandoklah yang telah menyebabkan Raja Melaka yang pertama mengambil keputusan untuk menetap dalam negeri ini dan membukanya.


"BERSATU TEGUH" IALAH COGAN KATA NEGERI ITU"






Lirik Lagu Kebesaran Negeri Melaka
Melaka Negeri Bersejarah
Tempat Tumpah Darah Kita
Dijunjung Dengan Sepenuh Jiwa
Untuk Maju Dan Jaya
Rakyat Melaka Sudah Bersatu Padu
Berikrar Taat Setia
Jujur Berkhidmat Setiap Masa
Melaka Maju Jaya

Wilayah Persekutuan

Bendera baru Wilayah Persekutuan yang dilancarkan pada 20hb. Ogos 2006 ini digunakan dalam acara-acara rasmi yang melibatkan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.


Bendera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Labuan atau Putrajaya akan digunakan dalam acara-acara yang melibatkan Wilayah Persekutuan yang berkenaan.


Ciri-ciri Bendera Wilayah Persekutuan menerapkan warna asas Bendera Malaysia yang melambangkan Wilayah Persekutuan adalah milik Kerajaan Persekutuan dan seluruh rakyat Malaysia.
  • Warna kuning membawa maksud kedudukan yang dihormati, dimuliakan dan kedaulatan;
  • Warna biru mambawa maksud perpaduan, keikhlasan, kestabilan, keharmonian dan kebenaran; dan
  • Warna merah membawa maksud semangat waja, kekuatan, keberanian dan bertenaga.
  • Jata Negara melambangkan Wilayah Persekutuan sebagai jajahan penting yang meneraju pemerintahan, pentadbiran dan pusat perniagaan negara.
  • Tiga (3) bintang di bawah Jata Negara membawa maksud 3 Wilayah Persekutuan terpenting iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bernaung dan mendokong Wilayah Persekutuan.



Lagu Wilayah Persekutuan


 
Wilayah Persekutuan, Maju dan Sejahtera.
Harmoni Wilayah Pertiwi
Semoga Sentiasa Diberkati
Wawasan Hala Pembangunan
Sebagai Semangat Perpaduan
Wilayah Persekutuan
Maju dan Sejahtera (2x)

Pulau Pinang Pulau Mutiara

Bendera Pulau Pinang. Warna biru muda bermaksud warna laut yang indah di sekeliling pulau itu. Warna putih pula membawa maksud negeri Pulau Pinang yang aman dan damai. Warna kuning melambangkan kemakmuran. Pohon Pinang ialah pohon dari mana pulau itu mendapat namanya.





Jata Pulau Pinang. Pohon Pinang (Areca catechu) ialah tanda asal nama pulau itu. Petak yang berwarna kuning mengandungi gambar Jambatan Pulau Pinang yang mempunyai dua tiang dan empat kebel yang menegakkan tiang tersebut. Dua tiang ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat kebel pula menggambarkan empat jenis keturunan rakyat di negeri ini, iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Jalur-jalur biru dan putih yang menjadi simbol lautan berjumlah lima. Tiap-tiap satu warna yang memberi makna simbol lima prinsip Rukunegara dan lima daerah pentadbiran yang terdapat di Pulau Pinang.






Lagu Negeri Pulau Pinang
Selamat Tuhan kurniakan,
Selamat Pulau Pinang,
Negeriku yang mulia,
Ku taat dan setia,
Aman dan bahagia,
Majulah, Jayalah,
Negeriku yang ku cinta,
Bersatu dan bersama,
Untuk negeri kita.

Perak Darul Ridzuan


Bendera negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam. 
Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya.

a. Warna Putih : melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

b. Warna Kuning : melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan.

c. Warna Hitam : melambangkan kebesaran Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan.


 

Lambang Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi.Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah.Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai agama rasmi.Bunga padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.




Lagu Perak Darul Ridzuan
Dilanjutkan Allah usianya Sultan
Adil dan makmur memerintah watan

Ditaati rakyat kiri dan kanan
Iman yang saleh Allah kurniakan

Allah berkati Perak Ridzuan
Allah selamatkan Negeri dan Sultan

Malaysia

Bendera Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.


Lambang Malaysia menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan, manakala bintang bersama-sama anak bulan itu tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris itu tanda Negeri-negeri Melayu yang Tiada Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu).

Bahagian sebelah kiri perisai itu menandakan Negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka itu Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang, merah dan kuning warna Selangor, hitam, putih dan kuning warna negeri Perak, merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan.

Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Tiga Bahagian di sebelah bawah itu menandakan Negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunya Raya - Bunga Kebangsaan. Harimau-harimau yang di tunjukkan sebagai penumpang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu digunakan dalam Lambang Malaysia,

Cogan - Bersekutu Bertambah Mutu - ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning  pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.





Lirik Lagu Negaraku - Lagu Kebangsaan Malaysia

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
bersatu dan maju,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
selamat bertakhta,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan.
Raja kita
selamat bertakhta